Saturday, 11 July 2015

Luahan Hati Zahra #sayaZAHRA #sayaAZWAN



Saya Zahra, berumur 23 Tahun, pemegang Ijazah Undang-Undang daripada sebuah Universiti tempatan.

Izinkan saya berkongsi sedikit kisah hidup dan pandangan kerana mungkin banyak kaitannya dengan majlis kita pada petang ini.

Sewaktu bergelar pelajar dahulu saya sering terbayang-bayang kehidupan saya selepas tamat pengajian. Sudah tentu indah bukan! . Kerana dengan gaji yang besar yang bakal saya perolehi, saya dapat merancang masa depan dengan lebih teratur. Namun, setelah hampir 2 tahun bergelar graduan, saya semakin kecewa dan marah dengan nasib yang menimpa saya. Hidup memang ibarat kais pagi makan pagi. Realiti orang bekerja rupanya tidaklah seindah yang disangka. Malah amat menyiksakan. Ya, saya memandu ke pejabat, namun kereta itu bukanlah milik saya. Saya sekadar meminjamnya dengan membayar RM500 setiap bulan kepada bapa saya. Kebiasaanya bila hujung bulan saya akan menaiki LRT ke pejabat kerana poket sudah kosong. Ini sebenarnya sudah menjadi rutin dan saya memang malu dengan kedua-dua ibu bapa saya. Saya yang sepatutnya menyara mereka bukanlah sebaliknya.

Keinginan untuk memiliki rumah sendiri rumah juga nampaknya akan tinggal angan-angan untuk tempoh yang lama. Untuk menyediakan deposit 10% pun paling cepat 5-7 tahun lagi. Saya baru tahu, untuk membeli rumah di kawasan Melawati atau Ampang memerlukan pendapatan minimum RM9000 sebulan. Mampukah saya!!! Hari ini saya hanya mampu menyewa bilik sahaja dan dengan Rm500 sebulan ia amat menyiksakan. Sampai bila nak berhimpit sampai 8 orang serumah?
Realitinya berbekalkan gaji saya sekarang, membeli rumah bukanlah satu pilihan. Banyak pangsapuri dan rumah-rumah di Kuala Lumpur kosong tidak berpenghuni. Mungkin terlalu mahal untuk graduan seperti saya. Jadi, rumah yang mahal-mahal itu untuk siapa ? Bukanlah saya tidak bersyukur, saya juga bukan seorang yang mudah berputus asa. Saya sentiasa mencari peluang menambah pendapatan. Namun ia bukan mudah jika kita terikat dengan pekerjaan tetap. Saya mahu mengambil peperiksaan profesional untuk membolehkan saya menjadi seorang peguam namun kos peperiksaan sebanyak RM15000 tidak tertanggung. Hutang pinjaman pendidikan yang dahulu juga belum habis dibayar. Lebih malang lagi, Universiti pengajian saya tidak mendapat pengiktirafan . Mungkin saya perlu berkahwin dengan lelaki kaya untuk keluar dari kemelut sosioekonomi ini. Kedengaran melucukan, tapi ianya realiti. Belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya mengemis juga.

Tuan-tuan, bulan lepas saya dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya melibatkan kedua-dua ibu bapa saya. Syukur Alhamdulillah mereka hanya cedera ringan. Tetapi tambahan perbelanjaan yang terpaksa saya tanggung serta tragedi yang menimpa keluarga saya benar-benar membuat saya tersentak. SESUATU PERLU DILAKUKAN. Apabila saya diminta untuk bercakap di atas pentas ini, di hadapan YAB Timbalan Perdana Menteri. Inilah peluang untuk saya suarakan luahan hati generasi saya. Saya tahu saya tidak bersendirian, kerana ramai kawan-kawan saya turut terseksa. Kami sudah tidak nampak jalan keluar. Masa depan saya dan jutaan Anak Melayu di negara ini amatlah kelam dan kelabu. Terus terang saya katakan, kami anak-anak muda Melayu sebenarnya sudah tidak hiraukan isu-isu politik atau perkauman lagi kerana apa yang lebih penting bagi kami adalah isu SURVIVAL. I am the future of Malaysia. Tetapi saya sering tertanya-tanya. Jika orang yang berpendidikan tinggi seperti saya boleh sebegini miskin. Apakah harapan buat rakyat Malaysia yang lain yang tidak ke menara gading atau bukan dari keluarga berada. Ke mana arah mereka?

Pada Petang ini dan menjelang Ramadan yang akan disambut esok. Ingin saya tekankan kepada YAB TPM, kepada para pemimpin, ahli-ahli ekonomi, para bijak pandai, para majikan dan seluruh masyarakat agar jangan berlengah lagi untuk membela nasib orang Melayu dan bumiputera yang sekarang ini seperti pendatang di tanah air sendiri. Akhir kata, saya percaya bahawa esok masih ada. Sebagai seorang Melayu yang beragama Islam.  Saya yakin dan percaya bahawa rezeki itu dijamin oleh Allah Taala. Saya akan teruskan hidup dan berikhtiar. Saya dan kawan-kawan lain tidak akan berputus asa dan kami sentiasa berdoa agar negara ini terus maju dan dikurniakan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Kepada mereka di peringkat tertinggi. Inilah ANGIN PERUBAHAN yang perlu kita tempuhi untuk melangkah ke era 2020 sebagaimana yang dicita-citakan . Kita lakukannya bersama-sama.

Sekali lagi, nama saya Zahra dan saya sayangkan Malaysia.

Sekian Terima Kasih.

#sayaZAHRA
#sayaAZWAN
#AnginPerubahan
#KebangkitanAnakMuda
#SayaSayangkanMalaysia